Saturday, April 26th, 2008
Wanita maut dalam kemalangan ngeri KUCHING:
Seorang wanita maut dalam kemalangan ngeri di Petra Jaya, awal pagi
semalam selepas kereta yang dipandu suaminya hilang kawalan lalu
merempuh pagar konkrit dua buah rumah yang terletak tidak jauh dari
jalan utama.
Ketika kejadian mangsa, Hanifah Mahala, 37 dari Semariang Batu dan
suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai waktu kerja.
Bagaimanapun, kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu suami
mangsa gagal dikawal dipercayai dipandu laju, lalu merempuh pagar simen
dua rumah berdekatan menyebabkan keretanya remuk terutamanya di
bahagian hadapan.
Disebabkan impak yang begitu kuat, pagar konkrit rumah yang dirempuh kereta suami mangsa, juga roboh.
Orang ramai yang berada di tempat kejadian kemudiannya membantu
mengeluarkan mangsa dari dalam kereta dan diletakkan di tepi jalan
sementara menunggu ambulans dan polis tiba.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh
pasukan perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) dan mayat mangsa dibawa
ke HUS untuk bedah siasat. Bagaimanapun, suami mangsa hanya mengalami
kecederaan di muka dan turut dibawa ke HUS untuk mendapat rawatan.